Tetamu Subuh



Memang bengitu nyaman untuk terus mengerekot di bawah tebaran selimut daripada menjadi tetamu subuh dirumah Allah. Dan entah kenapa selimut itu seolah beratnya berganda tatkala pagi yang hening...

                "Astaghfirullah...." . Azam bingkas bangun. Matanya memandang sekeliling. Biliknya gelap. Selesai bersugi dia pantas mencapai kopiah di mejanya. Dua orang teman sebiliknya Hakim dan Badrul dikejutkan. Diajak melangkah ke surau bersama. Itulah rutin paginya. Namun ajakannya disambut dingin, sedingin embun subuh. Itu juga rutin tapi rutin mereka berdua.

                Ayunan langkah laju. Sepanjang jalan ke surau dia tidak habis-habis beristighfar. Hari ini dia terlewat . Kelewatannya bukan satu kebiasaan. Penyesalan memutik dihati. Ya Rabb, pagi ini aku tidak sujud padamu dalam tahajud. Malah aku tersungkur sujud di atas katilku sendiri. Nafasnya dihela panjang. Tiba di surau, pantas diletakkan capalnya di rak nombor tiga yang paling bawah. Rak kebiasaannya. Mudah untuk dia mengingati di mana dia letakkan capalnya malah rak itu sentiasa kosong. Jemaah selalunya lebih suka membiarkan sepatu mereka di kaki lima surau. 

*************************************************************************

               " Boleh aku tanyakan  sesuatu Zam? " Kamal membuka bicara usai solat subuh yang diimankan Azam. " Soal kelewatan aku tadi ? " Tebak Azam. Kamal mengangguk. "Hmmmm..... aku terlewat bangun kerana khilaf aku sendiri. aku lewat tidur malam tadi Mal. Hasilnya tahajutku tidak terdiri. Malah aku sampai ke surau saat solat subuh mahu dimulakan."

                   " Tak apa, jadikanya Ibarah Zam. Sekurangnya masih dapat berimamkan kau. " Kamal memaut bahu Azam. " Kau ni Mal. Lepas ini kau jadi imam pula tahu.... tak boleh dalih lagi. " Azam tersenyum. Senyuman yang menyejukkan hati. Ukiran senyuman yang cukup disenangi sahabat-sahabatnya. Kamal membalas senyuman itu. 

**************************************************************************

                    Tengah hari ini bandar Kubang Keian seakan membara. Sinaran matahari memijar terus dari petala langit. Mujur hari ini hari libur. Hakim baru pulang dari kafe. Peluh membutir pada wajahnya yang kemerahan dek sengatan matahari. Badrul dan Azam memandang gelagat Hakim yang mengipas-ngipas tubuhnya. 
         
                  " Eh kau orang ada dengar cerita terbaru di kolej kita ni ? Gempar tahu satu U kita!. Kecoh subuh tadi ada budak kemalangan di simpang surau murni tu. Dikejar hantu katanya. Tiada berita pula apa jadi padanya lepas itu." Terang Hakim panjag lebar. Badrul menelan liur antara percaya dengan tidak. " Wah seram betul tu Kim. Kau tidak gerun Zam ?" Badrul mengangkat kening. Azam mengukir senyuman. "kesahihan cerita itu masih belum terbukti. Tiada apa yang perlu digeruni Bad. Sungguh kegerunan itu aku pulangkan kepada Allah SWT" Sememangnya  dari pagi lagi Azam sudah terdengar khabar angin itu yang entah terbang dari mana. 

**************************************************************************
                      Bilangan jemaah subuh kian parah. Masing- masing terhambat dek cerita hantu itu. Ada sahaja cakap-cakap seolah mahu menggugah iman Azam. " Kau tidak takut Zam. Subuh dibilik saja Zam". "Bahaya la Zam. Tunggu la sehingga cerita hantu itu reda baru kau ke surau. Bukannya ramai pun jemaah di surau tu yang kau beriya-iya mahu imamkan". " Jangan berlagak  benar la Zam pergi surau seorang diri nanti dikejar hantu baru tahu kau." Namun kata-kata itu hanya omongan kosong di cuping telinganya. 

                    Hari - hari berjalan seperti biasa. Subuh warga kolej Murni masih berimamkan dia. Hari demi hari keserasiannya dengan Hakim dan Badrul semakin selesa. Usaha Azam mengajak Hakim dan Badrul solat subuh di surau membuahkan hasil. Nampaknya Kiash hantu itu kalah dengan keimanan mereka yang mula menumbuh subur. 

                 Subuh itu Azam melangkah ke surau ditemani Hakim dan Badrul lagi. Sedikit lewat dek menunggu Badrul. Iqamat sudah kedengaran. Nampaknya Kamal harus jadi imam hari ini. Getus hati Azam. Hujan melebat. Renek-renek hujan yang kasar menderakan aliran parit dibawah laluan kecil yang mereka tempuhi. "Aduhhh!! Bad! Zam! Tolong aku!!" Ternyata Hakim ditimpa musibah. Dia tergelincir ke dalam parit dek selut tanah yang licin. "Paut akar pokok tu kuat-kuat Kim. Aku turun tarik kau!" Azam membalas. Cemas. Tiba-tiba, arus parit kian menderas... "Hakim!!!"

****************************************************************************

                         Subuh ini heningnya teras menyapa jiwa. Seisi alam seolah tertimpa sesuatu. Dahan pepohon melambai sayu. Bulan bagaikan tersandar kelam di sebalik awan. Azan yang terlaung benar-benar menyentuh nurani. Yang terdengar tanpa ada sebab menerbitkan air mata. Ikut terbawa sayu dengan panggilan sujud itu.
Ternyata yang melaungkan azan turut sama mengesat tangis. Kamal tiba di surau. Dari kaki lima dia terpandang rak nombor tiga. Ada dua pasang capal. Nafasnya ditarik  dalam.

                 Alunan suara Kamal disulami kesayuan. Suara jemaah yang mengaminkan bacaan ummul kitabnya subuh itu menggema surau malahan segenap kolej Murni. Dua orang sahabat di saf pertama tidak tertahan sebaknya. Sepanjang dua rakaat itu kamar mata mereka terus basah. Warga Murni sedar mereka diimamkan orang lain, tak lagi seperti semalamnya. Bukan seperti biasa. Kerana imam yang sangat  mereka kenali suaranya itu tidak bisa hadir. Kali ini bukan kerana terlewat tetapi kerana pergi menemui Ar Rahman. hanya demi membantu sahabatnya yg tertimpa musibah subuh semalam. Siapa menyangka dia sendiri yang terjatuh ke dalam parit. Tembus di dadanya kayu yang sedia terpacak di bawah arus parit yang menderas.

                        Terya dia bukan 'pergi' dek dikejar hantu mahupun dicekik hantu sama sekali seperti yang mereka acapkali takutkan. Dia 'pergi' kerana menolong sahabat yang mahu sama ikut bersubuhan di rumah Allah. Mulai subuh ini surau Murni kehilangan seorang tetamu subuh yang setia. Namun surau Murni juga menerima dua orang lagi tetamu subuh baru yang turut mahu setia. Mungkin sahaja bakal imam baru. Wallahuaklam.. 
         Tamat
**************

-karya Rozanah Abdul Ghani- (2014)